
Sebelum ini tak pernah terlintas dihati penulis untuk menduga sang kelah di Lembah Belum,syurga kelah yang tak asing lagi di kalangan yang memujanya.Apatah lagi kerana kos untuk ke sana yang agak tinggi menyebabkan penulis hanya mampu bermimpi.Bukan tak mampu,tapi dek kerana faktor susah mencari geng-geng pancing hardcore yang sanggup ke sana menyebabkan usaha ke sana selalu terbantut. `Kita pi sana balik hari je tak boleh ke?` `Jauhla...kelah pun belum tentu dapat,perabih duit je!` `Letih woo trekking ,lutut pun dah longgar nih`
Heh!itulah ungkapan yang selalu kedengaran.Ikan diorang nak,tapi susa
Sebenarnya inilah kemanisan dalam memburu sang kelah pergunungan.Bayangkan nak dapatkan seekor pun terpaksa treking berjam-jam,duit yang dilaburkan tok sah kira lah,dah tu pulak kalau dah sampai ke lubuk,belum tentu kelah jamah umpan , dan kalau makan pun,belum tentu dapat tewaskan kuasa torpedonya ...tapi kalau dapat bang…pergh…berbulan tak habis cerita kat pejabat, sembang kat kedai kopi lagilah.Itulah lainnya kelah ni.Fell nya berbeza betul berbanding memancing ikan lain.Kalau sekadar cerita`aku dapat kaloi ,toman,sebarau, tengas ,tongsan,jelawat 3-4 kilo`,tu semua cerita biasa,takde interestednya orang kata,tapi macam mana dengan kelah 8 kg yang yang kami dapat masa trip 3 hari 2 malam di Royal Belum baru-baru ini?.Sampai sekarang penulis merasakan pengalaman yang paling sukar dilupakan.Biar pun ikan tu bukan kita yang dapat..heh!
Tak tahan kena ajak
Asalnya memang tak teringat langsung nak ke Royal Belum ni.Walaupun teringin bukan main,tapi dek kerana faktor takde member yang sanggup pergi yang selalu membantutkan usaha.Kebetulan penulis menetap di Gopeng,kawasan Lembah Kinta yang penuh dengan lombongnya.Kebanyakan pemancing di sini kaki lombong..Ada yang langsung tak kenal kelah.Paling haru..ikan tengas pun disangka kelah!Bukan tak gemar memancing di lombong,tapi entahlah..tak feel macam di hutan.Kalau jenis pancingan bottom ,di lombong kita akan cepat mengantuk apatah lagi kalau ikan tak menggetu umpan.Ditambah pula dengan sifat air yang tenang dan tali pancing yang statik dari sebarang gerakan.Beza sungguh kalau di hutan,ikan tak makan pun kita dapat rasakan sendiri kedamaian berada dalam hutan yang penuh dengan sound effect penghuninya.Dengan bunyi deruan air jeram yang memukau,burung-burung berkicau sana sini,dan sesekali kedengaran bunyi sang napuh yang sedang biang(miang nak mengawan ),silap hari bulan bunyi pak belang dan gajah pun terdengar.Alahai feel macam ni memang tak boleh dibeli kat mana-mana bang..!
Suatu malam penulis mendapat ajakan dari abang Hamdzan yang sama mengajar di satu sekolah dulu.Kini beliau bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan,Perak.Katanya dia nak buat satu trip bersama pegawai-pegawai ke Royal Belum ,yang antara aktivitinya ialah melawat sekolah orang asli di Kg. Sg. Tiang untuk diserahkan barang-barang berupa makanan dan pakaian.Yang lebihnya..mancing...heh!
Perjalanan bermula dengan semua ahli rombongan seramai 20 orang berkumpul di PPD Kinta Selatan.Tepat pukul 10 pagi ,semua ahli bertolak dan berkumpul di Masjid Jamek Grik pukul 1 tengahari.Setelah selesai solat zuhur dan asar secara jamak dan qasar di sana,kami bertolak menuju ke jeti Tasik Banding yang terletak kira-kira 50 km dari pekan Grik.Sampai di jeti, Along(pengusaha bot pancing terkenal di Tasik Banding) sedia menunggu dengan boatman yang lain.
Cuaca mendung
Sebenarnya trip yang dibuat ini (Disember 2008)bukanlah waktu yang sesuai untuk menduga sang kelah.Hujung tahun semua maklum adalah merupakan musim hujan di negara kita.Baik di pantai barat mahupun pantai timur.Kalau di Tasik Banding,waktu begini adalah sesuai untuk memburu sang serigala sungai (sebarau/badong) ataupun toman.Hujan yang mencurah,akan membasahi daun-daun dan tanah yang seterusnya membawa sekali seranggga-serangga dan cacing yang tersembunyi ke dalam air yang akhirnya menjadi makanan kepada sang ikan yang kecil yang berkenduri.Dan masa inilah sang sebarau atau badong akan berkenduri pula melahap ikan-ikan kecil tadi.
Lain pula dengan si kelah.Mereka akan mudik ke hulu sejauh mungkin untuk mengempas telur dan akan menghilir semula pada bulan Mac.Tapi kalau dah namanya rezeki ..kalau Tuhan kata Dia akan bagi,Dia bagi jugak..
Kami dibawa oleh boatman ke Sg. Kejar yang perjalanan ke sana memakan masa kira-kira sejam.Selang 10 minit,kami sampai di pos kawalan askar melayu yang wajib disinggahi oleh kaki-kaki pancing untuk menunjukkan permit masuk.Setelah semua urusan selesai kami meneruskan perjalanan.Walaupun hujan agak renyai,namun keseronokan memerhatikan pandangan alam di sekitar tasik buatan manusia mengatasi segalanya.Inilah yang dimahukan oleh manusia yang bernama kaki pancing.Kedamaian,ketenangan,keindahan alam ciptaan Tuhan yang sukar diluahkan dengan kata-kata.Dek kerana asyik melihat panorama di sekitar Tasik Banding ,tak sedar kami dah pun sampai ke Sg. Kejar yang menempatkan Royal Belum,tempat yang menjadi syurga kepada sang kelah...yearghh..here we are!
Royal Belum Camp Site
Sungguh tak percaya akhirnya penulis sampai juga ke tempat ni.Memang seperti yang digambarkan di akhbar dan dada-dada majalah pancing sebelum ini,tempatnya sunguh memukau.Kelengkapan dari segi tempat berkhemah,tandas,surau,dapur semua telah tersedia. Siap ada tukang masak lagi.Kerja kita mancing je lah.Setelah khemah didirikan maka masing-masing tanpa disuruh-suruh terus memasang peralatan pancing.Ada yang berminat untuk cast terlebih dahulu dan ada yang terus pancing bottom.Kelihatan abang Hamdzan memulakan aksi dengan teknik bottom.Umpan yang paling mujarab di sini apa lagi kalau tak sawit masam.Mata kail dicangkuk terus ke kepala sawit (cari kawasan yang agak keras) kemudian siat-siatkan sedikit kulitnya agar bau buah tersebut cepat tersebar dan memudahkan sang kelah menghidu.Penulis memilih untuk recce terlebih dahulu spot-spot menarik .Sambil-sambil tu bolehlah casting.Kira-kira 45 minit cast di hulu tanpa ada sebarang sambaran,penulis ke tempat kem balik semula.Di kem pun tak banyak tangkapan kecuali anak-anak sebarau yang sempat dicasting oleh member yang lain.Mungkin bunyi bising boat tadi menyebabkan sang kelah bertempiaran lari.
Menjelang senja,penulis mengeluarkan 3 kg sawit busuk untuk dijadikan rasuah sang kelah.Sebenarnya cara merasuah ni ada dua cara.Pertama,kita masuk sebeberapa banyak sawit busuk ke dalam karung/jaring ikan.Kemudiaan diikat dengan tali yang panjang kira-kira 10 kaki,dan terus lempar ke lubuk sasaran.Satu lagi cara ialah dengan memecah-mecahkan sawit terlebih dahulu kemudian di lemparkan ke tengah lubuk.Namun cara yang ke dua ini agak merugikan kerana sawit akan cepat habis dimakan ikan-ikan kecil.Tujuan merasuah adalah untuk mengumpulkan ikan sebanyak mungkin di lubuk.Ikan kelah sangat sensitif terhadap persekitaran dan makanan .Mereka tidak akan makan kecuali setelah menyedari makanan tersebut betul-betul selamat.Apabila sawit rasuah ditabur,maka banyaklah ikan –ikan lain berkumpul dan berebut makanan. Setelah berasa betul-betul selamat kelah tidak akan teragak-agak untuk menjamah.
Satu lagi tips yang penulis belajar dari pemancing-pemancing kelah yang expert ialah,bila dah tersua dengan lubuk kelah,jangan sesekali membuat bising.Berjalan pun nak kena macam komando.Hindarkan dari memijak kayu-kayu kering yang akan menyebabkan bunyi bising.Nak bercakap pun macam dalam kelambu.Pakaian seeloknya warna hutan(hijau,coklat atau celoreng).Bukan tak boleh pakai baju warna lain,tapi kelah akan cepat mengesan mana –mana makhluk yang berwarna lain dari habitat asalnya.Bila ini berlaku,kelah akan melarikan diri sejauh mungkin atau menyorok di dalam bangkar mahupun lubang batu.Ialah kan ,mana ada makhluk lain kat hutan yang colour oren,biru,kuning, unggu kat dalam hutan ni.Kalau waktu memancing,seeloknya jangan bergerak kesana-ke mari.Ada baikya kita duduk secara statik(kelah akan agak kita macam tunggul kayu).Begitu juga dengan tali yang diguna,seeloknya cari tali yang tidak berkilat.Kalau takde tali lain,rendam gulungan tali tersebut dalam air teh pekat semalaman.Insya Allah keesokannya warna kilat pada tali akan hilang.Tujuannya adalah untuk meminimumkan rasa takut sang kelah.Mereka akan lari sekiranya tali yang digunakan berkilau-kilau.Dan yang tak kurang penting juga,apabila memancing malam,hindarkan daripada menggunakan sebarang cahaya.Kalau nak merokok ke,pasang peralatan pancing atau umpan ke..pasanglah lampu tu jauh-jauh.Asalkan cahaya tak kena pada kolum air sudah.Itu sebab,kalau memancing malam ni,selalunya orang tak turun waktu bulan penuh.Kerana waktu begini ,kelah akan menyorok sedalam mungkin di tempat persembunyiannya.
Malam yang hambar
Selepas maghrib,sedikit tazkirah diberikan oleh ustaz Zokki yang merupakan penyelia kanan Pendidikan Islam di PPD Kinta Selatan.Dia ni kaki jala...tapi terjebak jugak akhirnya dengan dunia memancing .Habis program ,tibalah waktu makan.Sambil-sambil makan sambil-sambil bincang bab pancing. Macam-macam cerita keluar.Yang bukan kaki pancing dengor jelah...
Selesai makan,masing-masing menuju ke lubuk.Penulis memilih lubuk yang telah dilemparkan sawit peram tadi.Sepanjang memancing,takde satu getuan kasar yang dirasa melainkan ikan –ikan kecil.Ikan –ikan seperti temperas,sia-sia,merah mata,lampam cukup suka mencuri ikan.Pantang baling,5 minit lepas tu gerenti sawit tinggal sabut.Sampai ke pukul 12 malam kelah masih belum menunjukan belang.Akhirnya kami mengambil keputusan untuk terus tidur,dan kumpul tenaga sebanyak mungkin bagi aktiviti esok hari.
Sebenarnya jarang pemancing mendapat kelah waktu malam.Apatah lagi kalau menggunakan sawit.Waktu-waktu begini hanya syok layan baung je.Tapi yelah,umpan untuk baung pulak tak dibawa.Sebenarnya tak payah bawa pun.Gali je cacing sebanyak mungkin,takpun pakai anak-anak ikan,dan tunggulah rentapan sang pak misai...
Hari kedua
Masuk hari kedua ,selepas solat subuh berjamaah dan sarapan,penulis terus ke lubuk.Kali ni penulis bercadang untuk mengunakan dua set pancing.Satu set untuk bottom dan satu lagi casting.Untuk bottom penulis menggunakan umpan sebiji sawit dan lemparkan ke tengah lubuk dan seterusnya tambat dengan tali.Ini penting supaya kalau kelah makan,pancing tidak terus diheret ke dasar.
Mengikut pengalaman boatman yang telah beratus pemancing dibawa ke Royal Belum,berpuluh set pancing ada didasar lubuk kerana kealpaan pemancing itu sendiri.Setelah diikat ,dan longgarkan drag,penulis terus menjinjing set casting untuk mencari sebarau.Kawasan sungai kejar ni tak banyak ada bangkar kayu yang menjadi tempat persembunyiannya.Terpaksalah cast secara rambang.Bosan dengan tidak ada sebarang sambaran kecuali sebarau baya anak,penulis mencadangkan pada pemancng lain agar bergerak ke hulu .
Di lubuk hulu pun begitu,tidak ada sebarang sambaran.Hairan sungguh.Tempat punyalah cantik tapi ikan tak layan .Macam-macam jenis gewang penulis keluarkan dari fishing box.Dari sesudu jenama megaspoon(rupa sebijik macam abu island), rapala shad rap, dan macam-macam lagi semua tak dilayan.`Mana la pi depa nih?`getus seorang pemancing lain.
Terbongkar rahsia
Terbeliak biji mata ,apabila penulis melihat bekas-bekas rawai dan jaring tersangkut di satu tunggul kayu.Aik! macam tak percaya dengan apa yang ada depan mata.Macam mana taman negeri boleh ada benda-enda ni semua.Bila ditanya kepada boatman,mereka kata jaring tersebut mungkin kepunyaan orang asli suku jahai di sini.Untuk pengetahuan,hanya masyarakat pribumi ini sahaja yang dibenarkan menggunaakan jaring untuk menangkap ikan..tapi,aiseh..sepatutnya pihak jabatan perikanan menghadkan kawasan tangkapanuntuk mereka.Yelah kan,nak larang sangat pun tak boleh sebab ini sahajalah tempat diaorang mencari rezeki.Tapi kalau dah kawasan pengunjung pun diaorang nak pasang jaring lecehlah bang..
Tetamu yang dijemput dah kunjung tiba!
Disebelah petang,kami semua berpakat untuk mandi di salah sebuah air terjun di sini.Penulis rasa malas nak mandi lagi selagi tak merasa rentapan sang kelah.Lagi pun sejuk bukan main.Penulis bersama Haji Nan,dan Cikgu Din mengmbil keputusan untuk pinjam boat dan casting sebarau di sekitar tasik Royal Belum.Sebelum meninggalkan kem,kami sempat meninggalkan beberapa set pancing dengan berumpankan sawit busuk di tengah lubuk dengan harapan kelah sudi menjamah.Masing-masing melonggarkan drag di samping mengikat set pancing dengan tali agar tak terhumban ke dalam lubuk.
Sementera yang lain mandi,kami bertiga sibuk casting disetiap spot yang dirasakan berpotensi.Hampir sejam lebih kami cast,namun tiada sebarang sambaran.Geng-geng yang lain semua dah balik ke camp site setelah puas mandi.Kami tetap macam tu jugak,langsun takde sebarang sebarau atau toman yang sudi mengejar gewang.Hairan betul.Kami ambik keutusan untuk balik kem.Sesudah sampai ,semua ahli yang lain menjerit kepada kami bertiga sambil menunjukan sang kelah mega.`Wuii....!!!beso tu!`kata penulis.Yang lain apalagi semua tergamam.Inilah kali pertama penulis lihat depan mata kelah sebesar tu.Anggaran dalam 8kg.Sebelum ni paling besar kelah yang penulis dapat adalah 2kg di Lubuk Jeram Sinar,Kuala Koh..Rupanya semasa kami meninggalkan kem,salah satu pancing yang kami tinggalkan (set Cikgu Hamdzan)direntap ikan.Semasa tu yang tinggal di kem hanyalah Ust. Zokki dan tukang masak kami.Tukang masak nilah yang perasan salah satu pancing yang kami tinggalkan di sentuh ikan.Ust. Zokki terus mencapai joran dan apalagi...bergasak le!Memang tuah Ust Zokki..dahlah bukan kaki pancing,bila pancing terus dapat main dengan kelah lagi.
Cikgu Hamdzan pun tak sangka umpannya bakal dijamah kelah.Bila si tuan empunya sampai joran terus bertukar tangan.Maka berentaplah pula tuan punya pancing.Dengan gaya sebagai seorang pro Cikgu Hamdzan melayan dengan tenang.Ke hulu-ke hilir tali pancing dilarikan.Nasib baiklah kawasan lubuk tak berjeram dan banyak bangkar kayu.Tali yang dipakaipun hanya 20lbs.Dalam setengah jam bertarung,akhirnya sang kelah berjaya didakap.Semua bersorak gembira dengan kejayaan sulung trip.Akhirnya tercapai juga matlamat.Dengan warnanya yang merah keorenan,disamping tubuhnya yang gebu dan sasa,sememangnya ikan ini layak digelar sebagai raja sungai.Masing-masing bergilir bergambar dengan kelah pinjam.Jadilah kan,seekor kelah kg kongsi dengan 20 orang..heh!
Sebenarnya ada satu petua untuk cepat menaikan ikan .Penulis dapati mana-mana ikan yang bersaiz kasar akan cepat keletihanan kalau kita berjaya memaksa mulutnya naik ke permukaan air.Caranya ialah dengan joran dinaikkan menegak.Selain untuk memaksa agar mulut ikan mennjengah ke permukaan air,ianya juga untuk mengelakkan mereka menyusup ke bangkar atau menggesel tali ke batu. Ini dapat menjimatkan masa dan tenaga.Lebih-lebih lagi kalau bertarung dengan kelah..janganlah ambik risiko untuk main lama-lama.melepas nanti.Malam tu kami tak ada cerita lain melainkan sembang pasal apa yang berlaku pada petang tadi.Memang tuah badan cikgu Hamdzan...dialah yang planning trip ke Royal Belum ni..dan dia jugalah yang dapat habuannya.
Keesokannya,hujan turun mencurah-curah.Tak ada apa yang boleh dilakukan selain berkemas untuk pulang.Pukul 930 pagi kami mula berangkat.Sebelum ke jeti,kami sempat singgah ke perkampungan orang asli suku Jahai di Sungai Tiang.Kami bercadang untuk melawat Sekolah Kebangsaan Sg. Tiang di samping memberi bantuan pakaian dan makanan.Tapi malangnya waktu sekarang tengah cuti sekolah.Akhirnya kami hanya berjumpa dengan penghulu dan menyerahkan kepada beliau barang tersebut untuk di agihkan kepada penduduk kampung.Kemudian kami terus bertolak untuk menuju ke tempat bunga Raflessia,bunga terbesar di dunia.
Asib baik kami cukup baik kerana bunga ni sedang elok kembang.Mengikut kata guide kami,untuk menungu bunga ini kembang memakan masa 9 bulan.Fuh!! sebijik macam pompuan mengandung!
Setelah sampai ke jeti,kami di sambut oleh Along,dan dijamu makanan ala kampung di restoran kepunyaannya.Harapan kami agar masih banyak lagi kelah semega atau lebih besar lagi dari kepunyaan Cikgu Hamdzan di Lembah Belum .Janganlah kiranya nanti cerita lagenda kelah di Lembah Belum ini terkubur seperti mana saudara-maranya di lubuk lain.Sama-sama kita berdoa agar khazanah negara yang tidak ternilai ini kekal untuk generasi akan datang.Mana-mana kelah yang bersaiz induk atau kurang dari 1kg sewajibnya dilepaskan tanpa ragu demi untuk kelangsungan hidup mereka.Sayangi ikan kelah,lagenda ikan tanah air!